loading...

PAS Optimis Dapat ‘Anak Sulung’ Dalam PRN Sarawak

PAS optimis mampu memenangi sekurang-kurangnya 1 atau 2 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas mengumumkan hasrat bertanding 11 kerusi di negeri itu.

 

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu yakin kerusi pertama yang akan dimenangi itu umpama “anak sulung” parti Islam itu di Sarawak.

 

“Tahap keyakinan kita, 11 kerusi itu kita tak menang semualah. Insya-Allah kali pertama ini, kita akan dapat ‘anak sulung’ kita.

 

“Anak sulung kita sama ada seorang atau kembar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lajnah Politik PAS di Ibu Pejabat PAS, hari ini.

 

Mustafa sebelum ini dilaporkan berkata PAS akan bertanding 11 kerusi di negeri itu dan bersedia bertembung dengan bekas sekutunya DAP.

 

Pagi ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Mohamed Azmin Ali berkata pembangkang akan membincangkan perkara itu bagi memastikan pembangkang kekal bertanding 1 lawan 1 dengan Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

 

Mengulas perkara ini, Mustafa berkata mereka ada berbincang dengan PKR untuk mengelakkan pertembungan 3 penjuru.

 

“Kita dengan PKR memang ada perbincangan, kita tidak akan bertembung dengan PKR,” katanya.

 

Katanya, kemungkinan pertembungan 3 penjuru dengan DAP akan berlaku dan ia berpunca daripada tindakan DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

 

“DAP awal-awal tak mahu bincang dengan kita, bukan kita tak nak bincang dengan DAP,” katanya.

 

Ditanya tentang peluang PAS menang jika berlaku pertandingan 3 penjuru, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu bergantung kepada komposisi pengundi di kerusi yang ditandingi.

 

“Tengok demografi setiap Dewan Undangan Negeri (yang ditandingi), kadang-kadang 3 penjuru pun ada peluang,” katanya. – M.Insider

Previous
Next Post »
loading...