KUALA LUMPUR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini sebenarnya satu signifikasi tidak langsung penolakan rakyat terhadap media arus perdana yang ketika itu jelas dikawal oleh Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, katanya, selepas PH menawan Putrajaya, tiada tindakan dikenakan kepada mana-mana media yang sebelum ini bersifat berat sebelah, sebaliknya PH komited dalam melaksanakan kebebasan media.
“Selepas 9 Mei, saya pernah beberapa kali bertanyakan jika ada mana-mana agensi media yang diberi apa-apa ‘wahyu’ dari mana-mana kementerian. Dan setakat ini, jawapannya tiada.
“Jika ada agensi media yang melakukan pertukaran atau penstrukturan di peringkat tertinggi, itu pilihan mereka sendiri. Ia bukan atas arahan dari kerajaan,” kata Penasihat Khas Media Dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin.
Beliau yang juga Tokoh Wartawan Kebangsaan, memaklumkan kerajaan sangat komited dalam menyokong usaha penubuhan Majlis Media Malaysia, namun tanggungjawab itu perlu dipikul oleh badan dan organisasi media.
“Organisasi media yang perlu berbincang dan memikirkan apa dan bagaimana majlis media itu nanti. Kerajaan tak boleh tentukan perkara itu,” ujarnya.
Kadir bercakap pada Forum Media Kebangsaan di UNITEN Kajang, pada Khamis.
Forum sehari itu bertemakan Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan, disertai ramai tokoh dalam bidang kewartawan dan media, antaranya Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Sinar Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran, dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Mohd Zaini Hassan.