KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata tidak perlu ada sekatan untuk mana-mana pihak yang berhasrat menubuhkan parti politik baharu, termasuk dari kalangan bekas pemimpin UMNO sendiri.
Beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), berkata cadangan penubuhan parti baharu bukan isu besar bagi UMNO yang berpengalaman dan sudah melalui banyak ranjau serta resam politik sejak ditubuhkan 70 tahun lalu.
“Kita tidak mahu melihat sekatan terhadap mana-mana pihak yang mahu menubuhkan parti baharu. BN (Barisan Nasional) berpaksi kepada rakyat, sedia berdepan sesiapa saja.
“Sejak dahulu lagi, memang banyak parti wujud, pernah ada Semangat 46, Parti Rakyat Malaysia, BN tetap hadapi, termasuk yang sedia ada seperti DAP, PKR, PAS serta Parti Amanah Negara,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim, pula menyuarakan kebimbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi alat dan ‘kuda tunggangan’ pembangkang.
Beliau berkata, platform PKR yang digunakan bekas Timbalan Perdana Menteri hanya akan menjurus kepada laluan menghancurkan legasi politiknya.
“Tindakannya (bersama PKR) seolah-olah sudah ketandusan tempat (berpolitik). Saya kira Muhyiddin akan hanya jadi alat kepada PKR dan tiada tempat untuk menyuarakan hasrat politiknya.
Muhyiddin seharusnya sedar legasi serta pencapaiannya dalam politik mungkin buruk disebabkan beliau memilih jalan ini,” katanya.-BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW