KEMAMAN – Kira-kira 75 rumah di empat kampung rosak teruk ekoran hujan batu dan ribut dalam kejadian di Kampung Felda Neram 1, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, sebanyak 27 rumah yang rosak ialah di Kampung Tengah, 26 buah di Kampung Padang Lalang, 17 di Kampung Seratus dan lima di Kampung Baru.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Aziz@Mohamad Jusoh berkata ribut petir disusuli hujan batu kira-kira 10 minit berlaku di kawasan-kawasan berkenaan, dengan setiap ketulan air batu itu sebesar duit syiling 20 sen.
“Kira-kira 5.30 petang, ribut kencang melanda tapi sekejap saja kira-kira 10 minit, sama seperti hujan air batu. Namun, akibat ribut itu banyak pokok tumbang dan atap rumah rosak diterbangkan angin. Ketika itu juga bekalan elektrik terputus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian berkenaan menyebabkan kebanyakan rumah mengalami kerosakan atap dan terdapat beberapa rumah yang turut tercabut kayu struktur bumbung dan atap.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan berkata, usaha mengumpul maklumat kesemua mangsa dilakukan di bawah pengurusan Felda dan setakat ini selain rumah kediaman, turut didapati rosak ialah bangunan awam seperti Balai JKKK, balai mengaji dan kuarters kesihatan.
“Bagi rumah kediaman milik peneroka di bawah Felda, rumah mereka diinsuranskan dan bagi rumah yang tiada insurans, kerajaan negeri akan hulurkan bantuan untuk kerja-kerja pembaikan.
“Sebagai tindakan segera kita minta pihak Felda turut baiki rumah yang tiada insurans itu untuk pastikan rumah kesemua mangsa dapat dibaiki dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan mula dilakukan hari ini dan pihaknya menjangkakan ia dapat disiapkan segera, demi keselesaan kesemua mangsa yang terjejas. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW