loading...

Kem Terendak Nafi Dokumen Sulit Dicuri Beruk

MELAKA – Kem Terendak hari ini menafikan laporan kononnya tiga dokumen yang dicuri sekumpulan beruk dari posmen yang bertugas di kawasan kem di Sungai Udang itu pada Rabu lalu, adalah dokumen sulit.

 

Jurucakapnya berkata, surat yang dicuri sekumpulan haiwan liar berkenaan sebaliknya adalah surat berdaftar.

 

Katanya, siasatan pihaknya mendapati laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai kejadian itu adalah tidak benar.

 

“Laporan itu tidak betul. Posmen hantar surat berdaftar ke satu tempat di dalam kawasan kem ini, bukannya dokumen penting. Beruk di kawasan kem secara tiba-tiba menyerangnya dan merampas surat itu.

 

“Sejurus kejadian, posmen berkenaan terus membuat laporan mengenai serangan itu di Balai Polis Sungai Udang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang bertajuk ‘Monkey steal secret documents at army camp’, hari ini.

 

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Garison Terendak, Left Kol Mohamad Salleh, berkata dokumen atau barang sulit hanya dihantar mengikut sistem prosedur operasi standard (SOP), bukan pos.

 

“Kita akan semak dengan Pos Malaysia bagi mengesan posmen yang dimaksudkan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian sebenar,” katanya ketika dihubungi.

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

 

“Laporan dibuat posmen berkenaan di Balai Polis Sungai Udang pada 31 Julai lalu, namun kita sudah serahkan kes kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...