Polis telah menghentikan siasatan ke atas laporan yang dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang mendakwa tiga pegawai tertinggi kerajaan terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Khairul telah dipanggil polis ke Bukit Aman pada Jumaat lepas untuk diambil keterangan bersabit dakwaan itu dan pihaknya mendapati aduannya berasaskan andaian sendiri.
“Kita sudah rakam percakapan dia, dan mendapati saudara Khairul ini membuat laporn itu berdasarkan andaian dan tak dapat mengemukakan bukti-bukti untuk sokong dakwaannya.
“Jadi PDRM tidak berhajat untuk meneruskan siasatan kes ini dan telah dihentikaan,” katanya sambil menambah beliau kecewa dengan tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO itu dan menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab dan menyusahkan polis.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Pada 26 Julai lalu, Khairul Azwan membuat laporan polis ke atas bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mendakwa mereka terlibat mendedahkan rahsia tanpa kebenaran kepada pihak asing dalam cubaan menjatuhkan Najib.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis juga tidak akan meneruskan siasatan selepas ini kerana Khairul Azwan membuat aduan mungkin disebabkan apa yang dibacanya dari akhbar selain apa yang didengar dari orang lain.
“Kita tidak boleh meneruskan kes ini berdasarkan andaian dia. Sepatutnya setiap laporan yang dibuat haruslah beserta bukti kukuh. Kalau tidak ada alasan atau bukti kukuh, jangan buat sebarang tuduhan yang jelas membuang masa polis,” tegasnya.-MG
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW