loading...

SUPP Sedia Kemuka Calon Wanita Dalam PRN Sarawak

SHAH ALAM – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyambut baik cadangan Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) dan akan memastikan peluang itu diisi ahli wanita yang ada.

 

Setiausaha Agungnya, Senator Datuk Dr. Sim Kui Hian berkata, parti itu akan memberi keutamaan kepada calon wanita yang berkelayakan untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 nanti.

 

“Kami di SUPP akan berikan peluang kepada calon wanita, tetapi calon wanita yang berkelayakan juga perlu diberi keutamaan. Kami akan pastikan kesemua calon wanita diberikan peluang,” katanya kepada Antarapos.

 

Ujarnya, meskipun berdepan dengan kekangan dalam menyediakan 30 peratus calon wanita yang diminta pergerakan, namun tidak menolak akan memperuntukkan beberapa kerusi yang dirasakan sesuai untuk disenaraikan.

 

“Kami berharap untuk meletakkan lebih calon wanita, dan kali ini (PRN Sawarak) akan ada wakil wanita sebagai calon, tapi kami (SUPP) tidak mempunyai calon wanita yang mencukupi kerana apa yang Wanita BN mahu adalah 30 peratus. Kami tiada calon wanita yang sesuai sebanyak itu.

 

Katanya untuk PRN kali ini, SUPP ada menyenaraikan calon wanita kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem namun keputusan itu bergantung kepada penyelarasan kerusi antara keempat-empat parti di Sarawak.

 

Semalam Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengutarakan cadangan itu kepada Adenan ketika mengadakan pertemuan dengan beliau di Majlis Berambeh Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Sungai Buloh.

 

Dalam pertemuan berkenaan, Shahrizat mencadangkan usul berkenaan setelah mendapati Ketua-ketua Pergerakan Wanita parti komponen BN Negeri memaklumkan kepada beliau bahawa mereka mempunyai calon wanita yang sesuai untuk dicalonkan dalam PRN kali ini.

 

Selain SUPP, 3 lagi parti yang akan bertanding pada pilihanraya kali ini adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). – AntaraPos

Previous
Next Post »
loading...