loading...

Pemuda UMNO Sifatkan Gerakan Mahathir-Pakatan, Politik Luar Tabii

Kuala Lumpur – “Pemuda UMNO Malaysia menegaskan tidak berminat untuk terlibat dengan mana-mana gerakan politik luar tabii,” ujar Khairul Azwan Harun.

 

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu berkata demikian sebagai jawapan balas kepada Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin yang mengajak Pemuda UMNO untuk membentuk kerjasama.

 

Menurut Khairul, tindakan itu dilihat lebih kepada cubaan untuk mengaut laba politik populis jangka masa pendek.

 

“Kami tidak berminat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Pemuda UMNO lebih suka untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan politik kebudak-budakkan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain itu, Khairul turut menjelaskan bahawa Pemuda UMNO tidak berminat menyertai gerakan menidakkan institusi demokrasi berparlimen.

 

Beliau

berkata, mandat diberikan oleh rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memimpin negara ini.

 

“Kami kira wajar Afif mula dengan mengajak rakan-rakan lain di dalam AMK untuk sama-sama bersatu di bawah kepimpinan Nik Nazmi dahulu sebelum memulakan apa-apa gerakan nasional,” tegas beliau.

 

Hari ini, dalam satu kenyataan, Afif mengajak seluruh anak muda Malaysia, terutamanya Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama dalam agenda perubahan.

 

“Najib walau pada awal pemerintahannya menjanjikan transformasi, akhirnya berubah menjadi pemerintah kuku besi demi terus berpaut pada kekuasaan di saat beliau terpalit dengan skandal kewangan dan krisis integriti paling buruk pernah negara ini saksikan.

 

“Ancaman daripada tindak-tanduk Perdana Menteri ini menggugat asas-asas Malaysia berlandaskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi,” katanya.


Previous
Next Post »
loading...