loading...

PAS Hantar Wakil Bukan Bermakna Sokong Mahathir – Nasrudin

KUALA LUMPUR – Kebenaran kepada dua pimpinan PAS menghadiri pengisytiharan deklarasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu, bukan bererti parti itu menyokong gerakan berkenaan.

 

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata kebenaran itu sebaliknya adalah bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung deklarasi untuk dikaji.

 

“Membenar hadir bukan menyokong deklarasi, membenar hadir itu adalah untuk mengetahui pergerakan dan tindakan dan apa sebenarnya yang berlaku dalam deklarasi itu, ia adalah urusan politik.

 

“Deklarasi itu perlu dinilai dan kaji, sekiranya baik untuk rakyat dan negara, tak mengapa tapi kalau bertentangan dengan apa yang parti nak bawa, dengan prinsip PAS, mungkin kita akan tolak.

 

“Sebab itu kita hantar wakil, kita tak mahu nanti mengambil maklumat daripada pihak kedua, ketiga, keempat, kita hantar terus wakil yang diizinkan Presiden,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

 

Dalam deklarasi yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hadir atas persetujuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Majlis itu turut dihadiri dua lagi ahli PAS iaitu bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan bekas Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, namun mereka hadir atas kapasiti peribadi.

 

Ketika ditanya adakan PAS akan mengambil tindakan kepada Husam dan Mahfuz, Nasrudin berkata parti tidak akan mengambil tindakan kerana kehadiran mereka bukan kesalahan.

 

“Kami tidak anggap itu sebagai satu kesalahan sebab ia peribadi dan majlis itu bukanlah memberi kemudaratan dan kerugian kepada parti,” katanya. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...