Shah Alam : Gabungan NGO-NGO Selangor malam ini menyatakan satu deklarasi menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dan menolak Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pakatan Pembangkang.
Program yang diadakan di Bangunan UMNO Selangor itu diketuai Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor, Dato Jamal Md Yunos.
Program itu dihadiri oleh wakil pimpinan dan ahli dari 140 NGO di seluruh Selangor.
Deklarasi itu menyatakan lafaz ikrar taat setia tanpa berbelah bagi dan menyokong penuh kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak yang dipilih secara sah oleh rakyat mengikut perlembagaan negara.
Deklarasi itu turut menyatakan rasa kekesalan dan membidas tindakan khianat beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kuncu-kuncunya kerana sanggup bersekongkol dengan pakatan pembangkang terutamanya DAP yang disifatkan sebagai parti rasis dan chauvanis yang menindas Islam dan Melayu demi kepentingan politik sempit menjatuhkan Dato Sri Najib Tun Razak.
Deklarasi ini turut mendesak agar pihak Kerajaan memecat Tun Dr Mahathir Mohamad dari semua jawatan di bawah syarikat mahupun agensi Kerajaan termasuk di Petronas, Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana.
Gabungan NGO-NGO Selangor turut berikrar akan mempertahankan kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ke enam Malaysia yang terbukti memacu Malaysia dengan cemerlang dari segenap aspek pembangunan politik, ekonomi dan sosial sekaligus membela nasib rakyat.
Gabungan NGO Selangor juga mendesak pihak berkuasa menyiasat setiap gerakan kuncu-kuncu Tun Mahathir bersama Pakatan Pembangkang kerana strategi yang dibawa beliau bakal membawa malapetaka terhadap negara terutamanya maruah Agama, Bangsa dan Negara.