Filem Melayu yang dianggap paling seram terbitan Skop Production Sdn Bhd yang diberi judul Munafik berjaya memukau peminat filem seram dari negara jiran.
Malah, filem tersebut yang baru lima hari ditayangkan di pawagam turut mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila berjaya mengutip sebanyak RM2.3 juta setakat ini.
Sebuah laman portal melaporkan, penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang positif daripada kalangan penonton bukan sahaja peminat filem seram tempatan malah dari negara jiran.
“Tidak dinafikan, promosi dari mulut ke mulut antara faktor filem ini menjadi tarikan kepada penggemar karya genre seram.
“Boleh dikatakan, hampir semua penonton memberikan maklum balas positif terhadap garapan terbaharu Syamsul (anak) ini,” katanya.
Filem tersebut turut mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik apabila menyifatkan ia sebagai sebuah filem yang penuh dengan kejutan dan unsur keagamaan.