Kuala Lumpur – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan satu sidang media khas esok pagi bagi menjawab persoalan sama ada terus kekal berada di dalam Umno atau sebaliknya.
Ketua Umno bahagian Pagoh yang berusia 68 tahun sebelum ini dikatakan akan keluar parti selepas Majlis Tertinggi (MT) Jumaat lalu mengantung tugasnya sebagai Timbalan Presiden Umno.
Melalui jemputan media yang diterima SuaraTV, sidang media khas itu akan diadakan di Bukit Damansara pada jam 11 pagi.
Pada Isnin, Muhyiddin memaklumkan kepada media sebaik pulang dari Vietnam bahawa beliau masih setia bersama UMNO.
Menurut sumber bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan turut hadir dalam sidang media khas tersebut.
Selain Muhyddin, tumpuan pastinya terarah kepada Mukhriz sama ada beliau akan terus setia bersama UMNO atau bertindak mengikuti jejak langkah bapanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengumumkan keluar daripada UMNO kerana tidak berpuas hati dengan pendekatan dan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. – SuaraTV