KUALA LUMPUR – Kumpulan pembangkang yang kini dilihat mula memihak kepada Tun Dr Mahathir diingatkan supaya tidak sesekali meupakan kekejaman yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu sewaktu pemerintahannya dahulu.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasssan berkata, PAS tidak akan sesekali melupakan kekejaman Dr Mahathir walaupun beliau kini sudah mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“PAS sudah lupakah peristiwa Memali? Suka saya sebut, Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran lagi beliau ada mohon maaf.
“PAS sudah lupakah ramai pimpinan PAS terdahulu ‘disumbat’ dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipenjara dan dibelasah oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Suka saya nyatakan bahawa Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan rasmi media di sini hari ini.
Ujar Nasruddin, rakyat perlu mempertimbangkan segala kekejaman Dr Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya berbanding tuduhan yang dilemparkan kepada Najib.
Ujarnya, perubahan yang dibawa Najib kini berbeza dengan era kuku besi Dr Mahathir dengan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959.
Kini, Dr Mahahtir cuba menggulingkan kerajaan pimpinan Najib dengan membentuk jalinan kerjasama bersama Pakatan Harapan disamping mengajak PAS menyertai gerakan tersebut. – MalaysiaDigest