Kuala Lumpur – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Malaysia Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, beliau bersedia menerima pelawaan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk berdamai tetapi masih mahukan permohonan maaf daripadanya kerana menuduhnya pengikut Syiah.
Beliau berkata demikian susulan salam harmoni dan perdamaian dihulurkan Asri pada majlis Diskusi Santai: Ekstremisme Agama di Malaysia anjuran Sinar Harian, Rabu lalu.
“Saya tidak ada masalah berbincang dengan beliau, minum teh atau kopi dengannya, tetapi untuk tujuan akademik, fakta perlu dijelaskan dengan fakta. Ini adalah satu kemestian.
“Dia juga menuduh saya sebagai pengikut Syiah dan beliau perlu membuktikannya. Ia menyentuh kredibiliti saya,” kata Zamihan kepada The Malaysian Insider di pejabat Aswaja di Bangi hari ini.
Beliau mendakwa, permohonan maaf itu sepatutnya sudah lama dibuat Asri.
“Saya sudah bersabar selama 15 tahun. Saya memaafkannya tetapi tiada apa yang berubah.
“Orang kata, saya sepatutnya menjadi insan yang kuat dan memaafkannya saja tetapi saya sudah hilang sabar,” kata Zamihan.
Beliau berkata Asri bertanggungjawab kepada Tuhan kerana melemparkan tuduhan terhadapnya.
Zamihan berkata jika Asri mahu perkara itu diselesaikan dan dibincangkan dari segi akademik, beliau mahu satu pertemuan diadakan di depan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Biar mufti buat keputusan sama ada saya bersalah atau beliau betul atau sebaliknya,” kata Zamihan.
Zamihan merupakan pegawai agama Kementerian Dalam Negeri sebelum ditukarkan berkuat kuasa 18 Februari lalu, sehari selepas perdebatan yang sepatutnya diadakan antara beliau dan Asri.
Beliau diminta melaporkan diri di bahagian sumber manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).