KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyifatkan Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu sebagai kurang cerdik apabila menyalah tafsir apa yang disampaikannya mengenai Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti anjing.
Menurutnya, beliau tidak mengatakan Bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah anjing tetapi mendakwanya seperti ada anjing yang menggigit kaki tuannya kerana sering menyerang parti.
“Saya tak cakap dia anjing. Shafie adalah seorang yang bodoh kerana mengatakan saya memanggil seseorang sebagai anjing. Saya cuma memberikan contoh, tentang kesukaran kepada situasi tersebut. Jika kamu sedang melakukan sesuatu kerja tetapi ada anjing sentiasa mengganggu ia menyukarkan pekerjaan.
“Saya rasa memang dia (Shafie) seorang yang tidak cerdik, dan dia tidak seharusnya berada dalam ‘team’. Dia kata sesuatu yang saya tak kata. Saya harap dia melepaskan jawatannya,”katanya ditemui selepas majlis sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2016.
Terdahulu, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, tindakan Muhyiddin menyebabkan UMNO sukar memberi bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat.-SuaraTV