HULU TERENGGANU – Insiden gempa bumi berukuran 2.7 pada skala Richter yang berlaku di Tasik Kenyir dekat sini Selasa lalu mula memberi kesan kepada usahawan pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.
Pemilik syarikat Wawa Ceria Enterprise yang menawarkan pakej percutian bot di tasik tersebut, Nurmaziah Mat Ruszaki, 24, berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa pelanggan yang telah membuat tempahan menunda tarikh pakej berkenaan.
“Sejak semalam (kelmarin) hingga tengah hari tadi (semalam), ada tiga tempahan terpaksa dipindahkan ke tarikh lain atas permintaan pelanggan.
“Saya terpaksa pulangkan wang deposit sebanyak RM9,000 kepada mereka yang menunda tempahan bot. Saya tidak pasti tarikh baharu yang mereka mahukan nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Semalam dilaporkan, kejadian gempa bumi yang berpusat di dalam tasik itu mengakibatkan rumah penduduk di kawasan sekitar mengalami gegaran.-Kosmo