KUALA LUMPUR – Seorang pelayar Facebook yang (namanya dirahsiakan), menyifatkan tindakan doktor yang menyuruh pesakit mencari sendiri penyakit yang dihidapi menerusi internet, sebagai sikap tidak bertanggungjawab.
Dia turut menyokong tindakan seorang wanita yang ‘melenting’ dengan cara layanan yang diberikan oleh doktor tersebut.
“Yang doktor ini pun satu hal kenapa bila pesakit tanya apa masalah dengan mata dia, doktor tak menjelaskan betul-betul dengan jelas. Ni doktor boleh bantai kata ‘google it’ kalau semua penyakit nak kena google, tak payah pergi hospital la.
“Kalau doktor tu bagi penerangan kepada masalah perempuan ni tak adalah dia nak meroyan marah, sana sini. Ini jawabnya ‘google’. Melentingla kawan tu. kalau kena kat aku pun (yang buta ilmu perubatan dan kesihatan),tapi tak adalah semua benda nak post kat FB,”tulisnya.
Sementara itu, sebagai menepis dakwaan tersebut, satu status yang dikongsikan seorang pakar perubatan, Abdul Rahman Abdul Kadir yang menyifatkan masyarakat di Malaysia kini telah celik IT.
“Informasi berada di hujung jari. Pesakit pada hari ini datang ke hospital dan klinik tidak seperti dahulu. Mereka hadir dengan informasi yang telah mereka pelajari dan mereka bertanya persoalan-persoalan yang mereka telah ‘google’ tentang penyakit mereka terhadap kami. Ada kalanya maklumat mereka betul dan ada kalanya salah atau tidak tepat. Menjadi tugas doktor untuk membawa pesakit ke orientasi yang betul agar kefahaman mereka terhadap penyakit mereka adalah tidak silap dan tidak tersasar,”tulisnya.
Menurut Abdul Rahman, di negara-negara maju, telah menjadi amalan bagi para doktor memberikan link-link berkaitan penyakit pesakit agar mereka boleh mempelajari tentang penyakit mereka. Ini menjadikan mereka lebih berilmu dan membantu dalam kaedah penjagaan diri sendiri di kemudian hari.
“Pesakit-pesakit ini tidak memaki hamun, tidak marah dan tidak mem’viral’kan tentang perkara ini. Malah mereka bersikap menghargai sikap doktor tersebut yang menghormati daya intelektual mereka.
“Saya sebagai doktor pakar di Malaysia pun biasa menyuruh ‘patient’ saya google penyakit mereka sekiranya mereka masih tidak faham atau yakin setelah penerangan sehabis baik telah diberikan. Kadang kala ia merupakan ‘last resort’ kami untuk membantu memberi penerangan kepada pesakit kerana kami pun tahu, generasi sekarang lebih percaya pembacaan di internet berbanding percaya bulat-bulat pada doktor,”tulisnya.
Menurut Abdul Rahman, pihaknya hanya menggunakan pendekatan tersebut kepada pesakit muda dan bukan kepada warga tua.
“Tapi kami pun bukan moron la. Kami akan suruh google kepada pesakit-pesakit muda dan celik internet. Kami tak suruh pakcik petani atau makcik goreng pisang ‘google’. Silap-silap pakcik makcik ni pun ‘google’ dah sakit depa, tak macam hangpa yang muda tapi ilmu internet tertinggi hanyalah #virul kebodohan sendiri sahaja.
“Jadi tidak ada kesalahan dengan seruan terhadap pesakit untuk google penyakit mereka. Ia selaras dengan taraf negara kita menuju tahap negara maju,”akhirinya.-SuaraTV