KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 37, memberitahu kuman yang terdapat di badan kucing yang dikenali sebagai Toksoplasma antara penyebab dia keguguran kali keempat pada awal Februari lalu.
Menurutnya, setelah membuat pemeriksaan di hospital, doktor mendapati badannya dijangkiti Toksoplasma yang berisiko menyebabkan keguguran selepas disahkan hamil enam minggu.
“Itu merupakan salah satu penyebab saya mengalami keguguran tetapi semua itu bergantung kepada individu. Ada juga orang yang membela kucing banyak tetapi tidak terkesan apa-apa, mungkin badan saya tak sekuat mereka kerana saya juga ada bela beberapa ekor kucing sebelum ini.
“Selain daripada kuman tersebut, kesibukan kerja yang membuatkan saya banyak bergerak, sekali gus mengganggu proses kehamilan saya. Tetapi apa-apa pun saya reda dengan ketentuan Allah dan semua yang berlaku adalah aturan yang terbaik buat diri saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada dia tertekan dengan apa yang dilaluinya, bekas anggota kumpulan Elite yang berkahwin dengan Azlan Zulaily pada 1 April 2012 itu mengakui emosinya terganggu pada awalnya. Bagaimanapun dia pernah mengalami pengalaman yang sama pada 2012, 2014 dan 2015.
Alhamdulillah, jelasnya, doktor mengesahkan dia masih boleh mengandung, cuma sekarang ini perlu berehat untuk beberapa bulan.
Menurutnya, dia turut meminta sokongan daripada semua pihak untuk mendoakannya agar segera dikurniakan zuriat.
“Kalau orang selalu bertanya soal anak, saya lagilah tidak sabar untuk menimang anak sendiri. Itu yang saya mohon doa daripada semua agar saya dan suami berpeluang mendapat anak nanti,” katanya yang kini sibuk menguruskan produk kecantikannya dan berlakon. – Utusan