KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengekalkan jawatannya dalam Kabinet dan status selaku Ahli Parlimen Pandan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, soal melepaskan jawatan tidak timbul untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding di kerusi Parlimen Pandan sebagai persediaan dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Tidak (lepaskan semua jawatan). Insya-Allah akan kekalkan (semua jawatan).
“Kerusi untuk Anwar (bertanding) akan ditentukan kelak,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, ada laporan menyebut Anwar dikatakan akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Pengampunan diraja yang diterima bekas Timbalan Perdana Menteri itu membolehkannya kembali aktif berpolitik tanpa syarat.
Dr Wan Azizah turut melahirkan kesyukuran atas kemenangan Anwar sebagai Presiden PKR yang baharu tanpa bertanding, selepas tempoh pencalonan pemilihan parti itu berakhir semalam.