loading...

Penyeludup Ketum Serang Pos PGA

PADANG BESAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Perlis cedera terkena serpihan cermin tingkap selepas penempatan PGA Batalion 2 di Pos Padang Besar 11, di sini diserang seorang lelaki warga Thailand, kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias, berkata ini berikutan lelaki terbabit yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan ketum tidak berpuas hati apabila 12 guni daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand melalui tembok sempadan negara dirampas PGA.

“Beliau berkata, pada jam 11 pagi Rabu lalu, pihaknya berjaya merampas 12 guni daun ketum di kawasan tembok sempadan PB 10 yang cuba diseludup ke negara jiran oleh dua orang lelaki dipercayai warga Thailand.

“Pasukan PGA cuba menahan mereka tetapi suspek berjaya melarikan diri dengan masuk ke Thailand sebelum seorang lelaki yang berada dalam kawasan Thailand muncul menghampiri tembok sempadan.

“Lelaki terbabit meminta semua guni yang dirampas dikembalikan kepadanya tetapi permintaannya tidak diendahkan oleh pasukan PGA. Bagaimanapun, 3 jam kemudian, lelaki terbabit menghampiri penempatan PGA BN 2 di Pos PB 11 dan secara tiba-tiba melepaskan sembilan das tembakan ke arah penempatan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman berkata, anggota PGA yang berada di penempatan itu menjerit sesama mereka supaya berlindung dari tembakan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian

Katanya lagi, akibat dari tembakan itu beberapa cermin tingkap di penempatan berkenaan pecah hingga menyebabkan serpihannya terkena seorang anggota dan kini dilaporkan stabil.

“Pihak kami sudah meminta bantuan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...