Pasukan Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mendapat suntikan semangat untuk mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 selepas Stadium Tengku Abdullah di Bandar Baru Bangi selesai dirasmikan, semalam.
Skuad UniKL pastinya teruja apabila bakal menggunakan stadium sendiri selepas ia dirasmikan sendiri oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Stadium yang bernilai RM10 juta itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sekali gus menjadikan UniKL kelab pertama yang mempunyai stadium sendiri.
Mula dibina pada Ogos 2015, stadium itu mampu memuatkan sehingga 800 penonton dan bertaraf antarabangsa apabila turut mempunyai papan skor LED, gimnasium, empat bilik persalinan dan juga bilik sauna.
UniKL, yang mencipta sejarah menjulang Piala TNB buat kali pertama, pastinya akan mengharungi saingan MHL 2019 dengan misi dan semangat baru untuk beraksi di laman sendiri buat julung kalinya.
“Ia akan menjadi satu kemudahan yang sederhana tetapi apa yang penting adalah kandungan, penyelenggaraan dan penggunaan stadium ini.
“Saya berharap kita dapat mewujudkan satu program dalam mencungkil bakat-bakat baru yang mempunyai pemikiran yang kuat,” kata Tengku Abdullah.
“Selepas ini pasukan kami dapat mempersiapkan diri lebih awal dan bersemangat memandangkan kini memiliki laman sendiri. Ini adalah rumah kami dan ia membuatkan kami berbangga,” tambah pemain UniKL, Baljit Singh.
Sumber :-Stadium Astro
Tahniah pasukan kelab hoki UniKL yang menjadi kelab pertama di Malaysia yang memiliki stadium sendiri. Pastinya ia akan menjadi pemangkin untuk memberikan tahap terbaik buat para pemain UniKL. Kemudahan ini juga diharap dapat membantu UniKL membangunkan program-program berkaitan hoki dengan lebih baik lagi.