Trio trek berbasikal negara yang dibarisi Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis memberikan permulaan yang baik bagi acara sukan trek selepas memenangi perak dalam acara pecut berpasukan.
Perlawanan yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta itu menyaksikan trio negara ditumpaskan pasukan China yang mencatat masa 44.160 saat manakala wakil Malaysia itu mencatat 44.598s.
Selain dikalungkan perak, skuad berbasikal negara juga mencatat sejarah apabila mencipta rekod baru kejohanan dan kebangsaan ketika peringkat saringan apabila mencatat masa 43.934s.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyokong di Malaysia. Sebenarnya, kami sangat gembira. Sejak awal sudah kami jelaskan, kami mahu pecahkan rekod kebangsaan.
“Kami tidak menyangka akan beraksi dalam final. Kami meraih perak adalah satu bonus. Secara keseluruhan, kayuhan yang dipamerkan rakan sepasukan saya mantap. Ini kali pertama saya digandingkan bersama mereka,” kata Azizulhasni.
“Bagi saya, ini adalah permulaan yang baik. Ia memberikan satu motivasi untuk menghadapi acara lain.”
“Sebelum ini, sudah saya jelaskan, saya hadir ke sini untuk menikmati perlumbaan dan tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Kami melakukan yang terbaik dan akhirnya berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan,” tambah Shah Firdaus.
“Kejayaan ini untuk semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong kami,” ujar Fadhil.
Sumber :-Stadium Astro