COTABATO: Sebutir bom buatan disembunyikan di bawah motosikal mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan lebih 30 lain dalam satu festival jalanan tempatan di selatan Filipina semalam, kata polis dan tentera, pergolakan terbaharu di rantau dipenuhi militan.
Letupan berlaku berhampiran sebuah pasar malam di Isulan, wilayah Sultan Kudarat, menyebabkan orang ramai lari bertempiaran.
Wilayah itu terletak di pulau kedua terbesar Filipina di Mindanao, dilingkari selama berdekad pemberontakan Mao dan Islam yang menjurus peningkatan lanun dan militan. Mindanao kini kekal dalam undang-undang tentera sehingga akhir tahun.
Ketua Polis Wilayah, Noel Kinazo berkata, menurut laporan awal, seorang mangsa maut, seorang kritikal manakala 34 lain cedera. Stesen radio DZRH melaporkan beberapa mangsa maut.
Sementara pejabat Datuk Bandar berkata, dua butir bom ditemui di kawasan itu dan berjaya dimatikan pihak berkuasa.
Pejabat itu berkata, seorang mangsa maut dan sekurang-kurangnya 36 lain cedera dalam kejadian itu.
Pegawai polis tempatan berkata, bom terbabit meletup berhampiran sebuah stesen minyak ketika Isulan meraikan ulang tahun ke-61 pengasasannya.
“Ia amat kuat, kami segera meninggalkan kawasan itu namun saya tidak dapat melupakan imej kanak-kanak perempuan didukung bapanya dengan baju dipenuhi darah,” kata saksi, Judy Sapto.
Serangan itu, didakwa dilakukan Daesh adalah keganasan terbaharu di selatan di negara majoriti Katolik di mana militan Islam berjuang pemberontakan selama berdekad.
“Jelasnya, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang ada kaitan dengan ISIS (Daesh) memiliki matlamat paling kukuh melaksanakan serangan seperti ini,” kata Kapten Tentera, Arvin Encinas. -Reuters/AFP