BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang melakukan lawatan rasmi lima hari di China, melawat Akademi Sains Pertanian China di sini pagi tadi untuk mengetahui lebih banyak mengenai inovasi dan kecanggihan teknologi China.
Pada lawatan itu, Perdana Menteri turut menunjukkan minat mendalam terhadap penyelidikan yang dijalankan oleh organisasi berpaksikan inovasi itu.
Penyelidikan yang dijalankan akademi itu, antara lain, menumpukan usaha menangani masalah strategik dan penting yang dihadapi oleh sektor pertanian.
Menerusi penyelidikan, akademi itu mengeluarkan pelbagai varieti tanaman baharu dan racun serangga, dan juga mewujudkan bank stem sel bijian untuk mengeluarkan pelbagai variasi tanaman pertanian.
Dr Mahathir kemudiannya melawat Taman Sains Pertanian & Teknologi Inovasi di sini yang mempamerkan pertanian moden dan berteknologi tinggi .