KUALA LUMPUR: Menjelang Hari Arafah dan ibadah wukuf di Mekah, sebilangan besar jemaah haji pada petang Ahad diuji kejadian ribut pasir, yang jarang-jarang berlaku pada musim panas.
Ribut melanda penempatan jemaah haji di Arafah yang sedang bersiap sedia untuk melaksanakan wukuf, yang bermula apabila masuk waktu Zohor pada 9 Zulhijjah (Selasa) dan berakhir apabila terbit fajar hari ke-10 Zulhijjah .
Seorang petugas haji Malaysia, Maslina Alias, menerusi laporannya di akaun Facebook dan Instagram Stories berkata, angin kencang itu mengakibatkan kerosakan kecil terhadap khemah jemaah.
Ia turut menyebabkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah di Arafah.
Maslina berkata, ia bermula ketika matahari mulai terbenam kira-kira jam 6.30 petang, dalam keadaan jemaah haji tiada persediaan serta tidak menyangka kawasan itu akan dilanda ribut.
“Hujan dan ribut pasir di bumi Arafah sekarang. Pertama kali saya lihat hujan di bumi Saudi sejak berada di sini.
“Kami ada yang dah termakan pasir di sini. Awan bukan lagi mendung, tapi gelap gelita. Bagaimanapun, hujan tak lebat, hanya rintik,” kata Maslina dalam postingnya.
Bagaimanapun, katanya, ribut yang melanda tidak menggugat semangat jemaah haji apabila menganggap ia satu rahmat dan ujian dalam menunaikan ibadah.
Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku hujan dan ribut di Arafah bermula pukul 6.30 petang sehingga 8 malam waktu Arab Saudi pada Ahad.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun, semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan selamat.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Arafah,” katanya.