JAKARTA, 31 Ogos (Bernama) – Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang merupakan hadiah terbaik yang mampu diberikan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 hari ini.
Pelayar berusia 16 tahun itu menjadi penyumbang pingat emas termuda kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia dengan kutipan 20 mata penalti selepas berakhir 12 pusingan perlumbaan.
Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masih diraih wakil China, Wang Jianxiong (42 mata penalti) dan pelayar wanita India, Tomar Harshita dengan kutipan 62 mata penalti.
“Saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas kerana saingan pada hari ini amat sengit sebab saya baru sahaja bertukar acara daripada Optimist kepada Laser Terbuka 4.7 dan saya anggap ini hadiah terbaik mampu saya berikan kepada negara kita sempena Hari Kebangsaan hari ini.
“Saya memang berpuas hati dapat menang emas dan saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa saya, jurulatih, Persatuan Pelayaran Malaysia dan rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada atlet negara,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas berakhir perlumbaan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata beliau bercadang membawa ibu bapanya menunaikan umrah menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara yang bakal diterimanya hasil kejayaan pada hari ini.
Di bawah skim berkenaan, atlet yang meraih emas pada Sukan Asia akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan RM20,000 kepada pemenang pingat gangsa.
“Selain itu, saya juga bercadang membeli peralatan baharu pada bot saya dan selebihnya terpulang kepada ibu bapa saya,” kata anak jati Kedah itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia.
— BERNAMA