loading...

Trio bowling lelaki bawa pingat perak

Selepas trio bowling wanita memungut emas pertama negara di Sukan Asia, trio lelaki juga mampu menambah pungutan pingat di gelanggang bowling.


Kilauan pingat perak itu dihasilkan melalui gandingan Rafiq Ismail. Ahmad Muaz Fishoi dan TImmy Tan. Walaupun tidak berjaya memenangi emas namun trio yang tidak diberi harapan pingat ini berjaya membuktikan kemampuan selepas menduduki tempat kedua dengan 4,235 jatuhan pin.
Pasukan trio Jepun yang memenangi emas berjaya melakukan 4,344 jatuhan pin sementara Singapura yang memenangi gangsa melakukan 4,226 jatuhan pin.
Trio pertama yang diwakili Alex Liew, Adrian Ang dan Syafiq Ridhwan hanya sekadar di tangga kesembilan selepas mencatat 4,147 jatuhan pin.

Saya percaya kami ada sedikit kelebihan kerana menamatkan permainan lebih awal. Ini memberikan tekanan kepada pasukan lain yang mengetahui catatan kami dan perlu mengejarnya,” kata Rafiq yang turut merangkul pingat perak dalam acara berpasukan empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.

“Satu pencapaian yang besar apabila dapat membawa pulang pingat dari Sukan Asia. Saya tujukan pingat ini kepada ahli keluarga, rakan dan yang paling penting buat rakyat Malaysia.”

Pemenang pingat gangsa pada Piala Dunia AMF tahun lalu, Ahmad Muaz mengakui sukar untuk kembali bangkit daripada kedudukan ke-10 pada pusingan kedua namun ketenangan nyata banyak membantu mereka.

“Kami hanya mengikut rentak kami. Sudah tentu kami perlu bersungguh pada pusingan kedua kerana perbezaan antara trio lain tidak begitu jauh.”

Menurut Timmy, format mata baharu yang digunakan membuatkan ia mudah untuk dimenangi sesiapa sahaja.

“Kami sentiasa mengingatkan sesama sendiri untuk fokus permainan dengan permainan. Menggunakan format mata baharu ini, tidak kisah berapa banyak anda melakukan strike.

“Kami mengambil masa untuk memberikan balingan yang baik. Sangat hebat untuk bangkit dan memenangi pingat perak,” katanya.

Sumber :-Harian Metro

Previous
Next Post »
loading...