loading...

Anak Tun Ghafar Baba Dilepas Dan Dibebas Tuduhan Bawah Akta Hasutan

PETALING JAYA: Ahli Pas yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Mohd Tamrin Tun Ghafar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan pada satu sesi ceramah, enam tahun lalu.

Mohd Tamrin dilihat tersenyum di dalam kandang tertuduh sebaik sahaja keputusan itu dibuat oleh Hakim Azwarnida Affendi selepas Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Ashraf Zubir menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh.

Dalam prosiding itu, peguam bela, Eric Paulsen yang mewakili Mohd Tamrin, 70, berkata, anak guamnya itu wajar dilepaskan memandangkan pihak pendakwaan sudah tidak berminat untuk meneruskan kes.

Mengikut pertuduhan, Mohd Tamrin didakwa memberikan ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata yang menghasut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah Mohd Tamrin memberitahu dia berasa bersyukur dan lega kes yang berjalan hampir lima tahun ini selesai.

“Saya percaya bahawa pemerintahan kerajaan baharu pada masa kini memberikan peluang kepada semua pihak untuk bebas bersuara. Malah, akta hasutan ini juga telah dihapuskan,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...