loading...

Tiga Hari Prosiding Siasatan GST – PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menetapkan tiga hari bagi menjalankan prosiding siasatan berhubung ‘kehilangan’ dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jawatankuasa itu menetapkan 12, 13 dan 20 September ini untuk merakam keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Setakat ini, katanya, enam individu disenarai bagi memberi keterangan, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaraan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ronald berkata, individu lain yang bakal dipanggil memberi keterangan ialah dari Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), menteri lama dan baharu.

“Kita baru mula taklimat, saya tidak boleh dedahkan perincian kerana tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat, namun secara umum sesi ini bagi membantu perjalanan prosiding PAC.

“Ini hanya pengenalan kepada isu dan perkara yang kelak akan dijadikan bahan siasatan ahli PAC apabila prosiding dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Rang Undang-undang GST (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, pada 8 Ogos lalu, mendedahkan pembayaran tuntutan kredit cukai input berkenaan tertunggak, membabitkan nilai RM19.4 bilion sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, rekod JKDM mengesahkan RM9.2 billion atau 47 peratus daripada nilai keseluruhan tunggakan itu ialah pada tahun ini; RM6.8 billion (35 peratus) pada 2017; RM2.8 billion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.

“Baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja. Ini menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion,” katanya.

Guan Eng, pada 18 Ogos lalu, menerusi kenyataan pula mendesak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjawab tiga soalan penting berhubung kekurangan RM19.25 bilion dalam akaun amanah GST atau Tabung Bayaran Balik GST.

Guan Eng dilaporkan berkata, kekurangan itu mengakibatkan 121,429 syarikat dan individu tidak menerima bayaran balik GST sejak 2015 yang dianggarkan berjumlah RM19.4 bilion sehingga 31 Mei 2018.

“Pertama, adakah Najib meluluskan keputusan supaya pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan undang-undang.

“Kedua, adakah Najib meluluskan keputusan (Ketua Setiausaha Perbendaraan ketika itu) Tan Sri Mohd Irwan Serigar untuk tidak memindahkan keseluruhan RM82.9 bilion yang diminta kastam, tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak 2015?

“Ketiga, adakah Najib memberikan kelulusan supaya jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata, tiga soalan ini perlu dijawab kerana Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, menjelaskan jabatan itu sudah menuntut wang berkenaan daripada Jawatankuasa Tabung Bayaran Balik GST yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu.

Guan Eng menjelaskan, kerajaan berdepan kekurangan RM19.25 bilion kerana hanya RM148.6 juta sahaja wujud di dalam akaun Tabung Bayaran Balik GST, sedangkan ia sepatutnya berjumlah RM19.4 bilion.

Mengulas lanjut, Ronald menyifatkan terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang kesimpulan berhubung pendedahan oleh Guan Eng bahawa kerajaan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab terhadap kekurangan dana bayaran balik GST.

“Terlalu awal untuk membuat kesimpulan, sebaliknya kita akan buat keputusan berdasarkan kepada bukti yang bakal dikemukakan saksi ketika dipanggil memberi keterangan.

“Taklimat (tadi oleh Ketua Audit Negara) hanya berkisar proses dan prosedur untuk memberi pengetahuan yang lebih kepada ahli PAC, selain digunakan ketika prosiding.

“Walaupun ada perincian (daripada taklimat), saya tidak akan dedahkan kerana ia masih pramatang,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...