KUALA LUMPUR: Pendekatan dakwah tidak akan berjaya sekiranya umat Islam di dunia ini masih lagi bertelagah.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Muslim perlu menunjukkan nilai positif bagi memberi gambaran jelas bahawa Islam merupakan agama yang syumul.
“Islam menyatakan yang kita ini bersaudara, tapi hakikatnya kita seperti tidak bersaudara. Kita bertelagah satu sama lain.
“Islam melarang kita membunuh satu sama lain, tetapi kita melakukannya. Islam menggalakkan keadilan dan kesaksamaan, tetapi kita tidak mengamalkannya.
“Bukan sahaja di Malaysia, tapi negara lain juga. Disebabkan perbuatan salah saudara seagama kita, Islam dapat imej negatif. Imej negatif ini yang menghindarkan mereka yang ingin dekati Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM di sini hari ini.
Dr Mahathir yang juga Yang DiPertua PERKIM mahu umat Islam mengamalkan agama yang berteraskan al-Quran tanpa meminggirkan kejayaan di dunia dan akhirat.
“Tiba masa untuk kita menilai semula tingkah laku kita. Adakah kita hidup sebagai Muslim? Saya rasa kita gagal. Muslim dilihat mundur, miskin, malah mengemis untuk mendapatkan bantuan.
“Apabila kita bersikap sebegitu, saya tak rasa mereka akan tertarik dengan ajaran Islam. Ia melibatkan menyebarluas dakwah kepada semua umat manusia, selain menunjukkan kejayaan umat Islam, mencintakan keamanan dan sikap bersaudara sesama Islam,” jelas beliau.
Justeru, katanya, jika cara hidup Islam dipamerkan dengan baik, ia sekali gus akan memberi contoh yang baik kepada dunia.