KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PAS berkata pengundi di Sungai Kandis menghantar isyarat bahawa mereka mahu pembangkang mengukuhkan kedudukan dan pengaruh untuk menjadi badan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ekoran daripada itu dua lagi pilihan raya kecil (PRK) boleh dijadikan medan ujian terhadap kerjasama strategik pembangkang walaupun mereka membawa dasar yang berbeza.
“Keputusan itu juga adalah petunjuk bahawa kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah boleh dan perlu digembleng serta merupakan pendekatan yang amat strategik untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan,” katanya melalui kenyataan bagi mengulas kekalahan calon BN di Sungai Kandis pada Sabtu lalu.
Pada PRK itu calon PAS tidak meletakkan calonnya walaupun berbuat demikian semasa pilihan raya umum diadakan 9 Mei lalu.
Tanpa calon sendiri PAS mengambil pendirian menyokong calon BN, Datuk Lokman Noor Adam. Namun ia gagal membawa kerusi Sungai Kandis ke pihak pembangkang apabila ia dikekalkan oleh HARAPAN melalui calonnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Mengulas keputusan itu Khairuddin berkata perbezaan undi di antara HARAPAN dan BN semakin mengecil iaitu daripada dari 28.7 peratus kepada 23.1 peratus.
Beliau yang juga bendahari Dewan Ulama Pusat PAS menjelaskan pertambahan jumlah pengundi keseluruhan di kawasan Sungai Kandis sepatutnya melambangkan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap amalan demokrasi berparlimen.
“Pun begitu, kadar keluar mengundi pada PRK ini yang merosot sebanyak 36.2 peratus berbanding PRU ke-14 lalu menyebabkan HARAPAN hilang 8,571 (35.7 peratus) undi sebaliknya BN hanya hilang 1,933 (16.8 peratus) undi.
“Ini menunjukkan bahawa protes terhadap kerajaan yang diterajui HARAPAN pada hari ini adalah lebih besar,” katanya.
Di pihak BN pula, Khairuddin berkata prestasi dicatatkan adalah lebih baik apabila berjaya mengekalkan 83.2 peratus daripada jumlah undi yang diterima pada PRU ke-14 lalu.
HARAPAN, kata anggota parlimen Kuala Nerus itu hanya mengekalkan 64.3 peratus undi mereka.
“Sudah tentu undi PAS menyumbang pada peningkatan tersebut,” katanya.
Keadaan itu kata Khairuddin menunjukkan bahawa HARAPAN semakin hilang sokongan.
“Keputusan PRK Sungai Kandis ini ialah signal terang daripada pengundi bahawa pembangkang perlu mengukuhkan kedudukan dan pengaruh dalam badan perundangan negara,” katanya.