KOTA BHARU: Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. (Berjaya Starbucks) membuka cawangan pertama di negeri ini selepas 20 tahun syarikat pengendali jenama kopi popular itu beroperasi di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd. dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays berkata, pembukaan cawangan yang ke 282 di Tesco Lembah Sireh itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk di negeri ini.
“Asalnya kita akan beroperasi dan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula esok. Namun, akibat terlalu ramai pelanggan yang bertanya dan ada yang sudah berkerumun di luar kedai, kami terpaksa memulakan operasi hari ini.
“Saya sangat terharu apabila ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mencuba minuman Starbucks di sini dan sambutan yang sangat memberangsangkan seperti ini pastinya kami akan lebih komited untuk menambah cawangan lain di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kafe Starbucks beroperasi bermula pukul 8:30 pagi hingga 10:30 malam pada hari Ahad hingga Khamis, manakala, pada hari Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum operasi dilanjutkan sehingga pukul 11 malam.
Kesemua 12 pekerjanya termasuk pengurus cawangan merupakan anak jati Kelantan.