SHAH ALAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berbesar hati melihat rakan-rakan Ahli Parlimen BN bijak berhujah dengan membawa pelbagai perkara yang melibatkan polisi mahupun dasar di Parlimen.
Menurutnya, walaupun kini sudah berada di blok pembangkang namun kepemimpin BN melahirkan sikap realistik selain komited dalam memperjuangkan nasib rakyat.
“Ya benar dulu kita berada dalam kerajaan, tetapi kini merupakan pembangkang..jadi harus pastikan keberadaan kita ini menjadi pembangkang yang disegani di samping kredibiliti di dalam menegur setiap langkah kerajaan yang dirasakan tidak benar.
“Mudah-mudahan dengan sokongan dan harapan daripada rakyat kepada kita, ianya akan melontarkan satu kepercayaan dan dengan kesedaran kepada mereka (rakyat) supaya mereka tidak mahu tertipu lagi dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika memberikan ucapan ringkas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis, di sini.
Sementara itu, Zahid turut melahirkan rasa penghargaan kepada rakan dalam pembangkang khususnya Pas di dalam sokongan dan kerjasama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kali ini.
“Dalam jalinan kerjasama ini secara tidak rasmi telah mendaftarkan kesepakatan… dari status pembangkang yang sama kita merasakan bahawa apa yang telah dilontarkan oleh kerajaan pada hari ini tidak dilaksanakan lantas menjadikan kesepakatan yang longgar dapat dipereratkan kerana tapak perjuangan kita sama walaupun parti berbeza.
“Atas faktor kebersamaan ini ada hikmah yang turun kepada kita. Terima kasih kepada pimpinan Pas pusat, negeri dan Kota Raja khususnya di Sungai Kandis ini.
“Tentunya apa yang saya ingin sentuh di sini bukanlah kita berhasrat menolak parti-parti lain apatah lagi rakan komponen kita atau yang bersahabat dengan kita,” tegasnya.