loading...

Sultan Johor Beri Amaran Tarik Balik Darjah Kebesaran

MERSING – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk menarik balik darjah kebesaran Dato’ yang dikurniakan Almarhum ayahandanya kepada penerima pingat yang gagal hadir ke upacara Hari Hol Sultan Iskandar.

 

Sultan Ibrahim bertitah, penerima yang gagal hadir ke upacara memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar tanpa sebab dianggap tidak berminat untuk terus menjunjung darjah kebesaran tersebut.

 

“Suka saya beri peringatan kepada Dato’ Johor yang mendapat darjah kebesaran daripada Almarhum ayahanda saya supaya hadir pada majlis tahlil dan istiadat menziarahi makam sempena Hari Hol pada 6 Safar setiap tahun.

 

“Sekiranya ada penerima yang tidak sanggup berkorban masa untuk memperingati Almarhum, maka saya rasa lebih baik darjah kebesaran itu dikorbankan,” titahnya.

 

Titah Sultan Ibrahim, penerima yang gagal hadir ke Hari Hol Sultan Iskandar perlu memulangkan semula darjah kehormat itu sebagaimana mereka menerimanya dahulu atau baginda akan mengumumkan nama penerima yang telah ditarik balik darjah kebesaran tersebut.

 

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-51 di Kem Iskandar di sini hari ini. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...