loading...

Nikmati Hasil UMNO Hingga 7 Keturunan, Muhyiddin, Tun M Perlu Kenang Budi

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyamakan UMNO sekarang seperti kereta buruk yang perlu ditukar dibidas Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan sebagai tidak mengenang budi atas apa yang dinikmatinya hasil perjuangan parti terbesar Melayu itu selama ini.

 

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii dalam kenyataan balas semalam berkata, Muhyiddin yang disifatkan sebagai tidak habis-habis mengeji parti itu perlu ingat bahawa UMNO pernah berjasa kepadanya dan beliau diangkat oleh tiga juta ahli-ahli UMNO sebelum ini.

 

“Ini lah manusia yang gagal di dalam mendidik dan memimpin lalu menyatakan kesalahan terhadap parti yang memberikan kedudukan, jawatan, dan kemewahan yang diangkat oleh tiga juta ahli-ahli UMNO sebelum ini.

 

“Muhyiddin perlu ingat bahawa beliau seorang anak kampung dan sudah berapa ramai anak-anak luar bandar yang telah menikmati hasil keringat perjuangan UMNO selama ini. Begitu juga nelayan dan petani yang terus dibantu tanpa henti. Termasuk juga anak-anak di dalam bandar yang tidak dilupakan untuk dibantu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Selain Muhyiddin, tambah Mohd Razlan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah pemimpin tertinggi parti suatu ketika dahulu dan mereka lahir serta mencipta nama melalui UMNO.

 

“Manusia seperti Muhyiddin dan Tun Mahathir tidak akan hidup selesa dan disambut berbentangkan karpet merah sekiranya tidak mempunyai jawatan penting di dalam UMNO sebelum ini.

 

“Bahkan seluruh keturunan beliau menikmati hasil daripada perjuangan UMNO. Barangkali mungkin sehingga tujuh keturunan tidak akan habis dibelanjakan hasil yang mereka miliki semasa berjawatan di dalam parti,” tegasnya.

 

Katanya, tidak wajar untuk kedua tokoh politik ini menuding jari mencari kesalahan parti, sebaliknya orang-orang seperti ini perlu cuba belajar mengenang jasa-jasa UMNO.

 

“Sekiranya mahu bertanding melawan UMNO maka bertandinglah dengan sihat. Jika mahukan kemenangan, tunjukkan apa yang diperjuangkan dan apa yang hendak diberikan kepada rakyat Malaysia, bukanya berjuang dengan mencari kesalahan orang.

 

“Saya ingin ingatkan kepada Muhyiddin dan sekutunya yang telah hidup mewah hasil dari memegang jawatan dalam UMNO suatu ketika dahulu, buat keputusan yang lebih matang atau sekurang-kurangnya cubalah ‘berlakon’ jadi bijak.

 

“Satu jari menunding, empat jari lain menunding semula ke arah kamu,” katanya.-MalaysianDigest



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...