loading...

‘Harap Tun M Berjaya Tubuhkan Parti Baharu’

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya dalam tindakannya untuk menu­buhkan parti baharu.

 
“Saya mengenali Dr. Mahathir dan merupakan rakan lama dia, saya harap dia berjaya.

 
“Berjaya atau tidak parti baharu tersebut, kita lihat sama ada ia diterima rakyat pada pilihan raya umum nanti,” katanya selepas menghadiri majlis penutup Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) kali ke-56 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Besar MAYC, di sini hari ini.

 
Dr. Mahathir baru-baru ini mengumumkan satu pakatan parti pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu.
Antara individu yang dikatakan berminat dengan pembentukan parti baharu itu termasuk bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Naib Presi­den UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 
Razaleigh berkata, Dr. Mahathir tidak pernah dihalang me­nubuhkan pakatan pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu yang hendak ditubuhkannya, PKR, DAP dan PAN untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selaras dengan amalan demokrasi negara.

 
Sehubungan itu, kata beliau, pemimpin UMNO perlu bijak mengawal ahli-ahli parti supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana parti lain.

 
“Dr. Mahathir ada pengaruh tetapi sama ada pengaruh ini masih kuat atau tidak, itu terpulang kepada penerimaan rakyat.

 
“Apa yang perlu dibuat oleh pemimpin parti sekarang ialah kawal ahli supaya tidak beralih ke parti baharu,” jelasnya.

 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga siasatan yang sedang dilakukan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dakwaan aktiviti pengubahan wang haram selesai dijalankan.

 
“Kita kena tunggu kerana ia merupakan satu proses undang-undang, kita perlu lihat sama ada terdapat bukti yang berasas me­ngenai dakwaan tersebut.

 
“Mereka yang dituduh mesti membuktikan apa yang dituduh ini tidak benar ketika berdepan dengan pihak pendakwaan,” jelasnya.-Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...