Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
KUCHING – Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusuf menyifatkan pembangkang sengaja memutar belit mengenai isu rasis yang menyentuh sentimen keagamaan.
Menurutnya, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah meninggalkan etika dan nilai murni demi dan menimbulkan kebencian masyarakat terhadap BN.
“Itu ada putar belit lagi daripada media yang dikawal oleh pembangkang. Ini yang saya katakan tadi bahawa mereka ini sanggup berbuat apa sahaja sehinggakan meninggalkan etika dan nilai murni di belakang.
“Saya yakin rakyat Sarawak bijak dan memahami, apa yang dibawa pihak pembangkang adalah sebenarnya cuba menimbulkan perasaan kebencian sehingga akhirnya mereka dapat mempengaruhi pengundi-pengundi kita,”katanya.
Menurutnya, beliau percaya ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee tidak memberi ucapan yang menyentuh sentimen keagamaan seperti yang dilaporkan sebelum ini kerana menyifatkan Dr Annuar sebagai memperjuangkan hak kesaksamaan.
Beliau turut menegaskan, pengundi di Sarawak bijak dan percaya perkara tersebut merupakan ‘kerja’ pembangkang yang sengaja memutar belitkan fakta.
“Apa yang penting kita kena mendidik dan memberi kesedaran kepada pengundi supaya berhati-hati dengan apa sahaja yang dikeluarkan di sosial media apatah lagi jika kenyataan itu datangnya dari mana-mana kumpulan yang ada hubung kaitnya dengan pembangkang.
“Semak, telitikan dan siasat kerana kebanyakannya adalah sengaja diputar belitkan untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian. I0tu matlamat mereka dan jangan terperangkap dan terpengaruh dengan taktik ataupun strategi pembangkang,”ujarnya.
Terdahulu, berita bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’ yang dipetik di luar konteks dari ucapan ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee telah menimbulkan kekeliruan ramai.
Dr Annuar sebelum ini menafikan berucap demikian dan menyifatkan laporan tersebut sebagai putar belit yang tujuan menimbulkan sentimen keagamaan.-SuaraTV