loading...

Video: Tukang Kasut Di Kuching Pakai Camry, Pergi Umrah

KUCHING – Bermula sebagai hobi membaiki kasut namun lama-kelamaan minat tersebut menjadi karier yang akhirnya memberikan hasil pulangan yang lumayaan.

 

Menurut seorang tukang kasut di RH Plaza di Jalan Lapangan Terbang Kuching, Jamaluddin Hamdan, 49 walaupun sering dipandang hina oleh segelintir masyarakat namun beliau puas kerana boleh membantu mereka yang memerlukan khidmatnya.

 

“Saya kerja sebagai tukang kasut ni sebab nak tolong orang, yang pertama sebab nak tolong diri sendiri (cari pendapatan) sebab ia merupakan hobi yang mempunyai pendapatan.

 

“Contoh macam hobi memancing tak ada pendapatan, kalau ada duit banyak tak kisah sebab dengan kerja macam ini ada income dan (paling penting) boleh tolong orang sebab kalau kasut (terutama jenama mahal) rosak sikit tak akan nak buang kalau kaya tak kisah,” katanya ketika ditemui SuaraTV baru-baru ini.

 

Paling menarik menurut Hamdan, setelah hampir 8 tahun bekerja sebagai tukang kasut melalui hasil pendapatan tersebut membolehkan dia memiliki kereta mewah jenama Toyota Camry 2.0 dan pergi menunaikan umrah bersama isterinya.

 

 

“Rezeki Allah yang bagi (yang penting) kena solat, terutama solat sunat Dhuha antara Subuh dan Zohor mohon agar rezeki dimurahkan.

 

“Kerja macam mana pun tapi kalau tak solat rezeki yang diperolehi tidak akan rasa nikmat sebab kalau kita tinggal satu waktu (solat) akan rugi seribu waktu yang penting mohon pada yang Esa dan kita jangan sombong dan bongkak,” katanya lagi.

 

Hamdan turut menyeru golongan belia agar tidak terlalu memilih kerja kerana apa yang penting pendapatan yang diperolehi adalah dari sumber yang halal.

 

“Tukang kasut ni kadang-kadang orang tak pandang sangat, ada yang pandang semacam (sebab itu) budak-budak sekarang lebih suka lepak dekat kafe rata-rata tak nak kerja kotor macam ini.

 

“Mungkin kerana mak (dan) bapa mereka dari kalangan orang senang, jadi mereka pagi buka tangan (minta duit) ayah bagi, petang buka tangan mak bagi jadi sebab itu mereka (anak) rasa tak payah kerja.

 

“Kalau nak kata kotor memang laa kotor, mungkin sebab itu remaja zaman sekarang malu kerja macam ini,” katanya lagi. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...