Pengurus kepada Datuk Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak mahu pemilik akaun Facebook Kaki Share membuang serta menghentikan penyebaran berita palsu yang mengatakan penyanyi popular itu sedang hamil kali kedua selepas mengalami keguguran pada hujung tahun lalu.
BACA: Siti Nurhaliza Lelong Pakaian Peribadi Serendah RM100
“Saya kecewa dengan tindakan mereka. Disebabkan status dimuat naik itu membuatkan banyak pihak membaca dan mempercayainya. Malah banyak yang berkongsi di page Facebook masing-masing. Saya yakin dan percaya pemilik akaun ini orang Islam dan berbangsa Melayu, jadi tentu dia mengetahui hukum memfitnah itu berdosa besar”
“Apa yang ditulis mereka sangat jelas, tepat dan tidak ada satu ayat pun yang tersasar. Cuma apabila ia diolah semula, ia mengundang perasaan orang untuk membaca. Apabila berita itu dimanipulasi, rasa tidak adil kerana saya tidak bercakap pun hal itu,” katanya kepada Harian Metro mengenai status palsu yang dimuat naik itu.
Pada masa yang sama, Rozi menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab apabila kenyataannya dalam sebuah portal online pada Ahad lalu dimanipulasi pihak terbabit. Malah beliau berpendapat, tindakan individu itu hanya sekadar mahu mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri.
Sebelum ini, akaun Facebook menggunakan nama Kaki Share telah memuat naik status, Siti Nurhaliza Hamil Lagi dan menjadi viral di media sosial hingga ke hari ini. Menyedari perkara tersebut, Rozi menulis di ruangan komen akaun itu meminta pemilik akaun itu menghentikan penyebaran dan tidak menokok tambah kenyataannya terdahulu. (rkty/w)