loading...

Sekilas Fakta PRN Sarawak Yang Anda Perlu Tahu

KUCHING – Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 kini sedang rancak berlangsung, dengan proses dimulakan dengan hari penamaan calon pada Isnin, 25 April yang lalu.

 

Pilihan Raya kali ini menyaksikan 82 kerusi dipertandingkan termasuk 11 kerusi baharu berikutan persempadanan semula kawasan.

 

Dua kerusi sudahpun menjadi milik Barisan Nasional yang menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon. 80 lagi kerusi kini menjadi rebutan buat bakal-bakal Yang Berhormat.

 

Selepas seminggu berkempen, apa kata kita lihat sekilas fakta PRN Sarawak:

 

Angka, jumlah dan statistik

 

  • Jumlah pemilih biasa adalah 1,113,522 orang dengan pemilih awal seramai 25,022 orang. Pemilih tidak hadir kerana berada di luar negara pula adalah seramai 106 orang.

 

  • Daripada keseluruhan jumlah pemilih iaitu 1,138,650 orang, 570,494 adalah wanita yang mewakili 50.1 peratus dan bakinya lelaki iaitu 568,156 orang atau 49.90 peratus.

 

  • Ia dipecahkan kepada kaum Cina 365,417 orang, Iban 306,942 orang, Melayu/Melanau 304,781 orang, Bidayuh 85,044 orang, Orang Ulu: 45,406 orang dan lain-lain seramai 3,803 orang.

 

  • Seramai 226 calon bertanding merebut 80 kerusi Dun Sarawak pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN ke-11) pada 7 Mei ini.

 

  • BN akan bertanding di 80 DUN, PKR (40 DUN), DAP (31 DUN), Parti Amanah Negara (13 DUN), PAS (11 DUN), STAR (11 DUN), PBDS Baru (5 DUN) selain 35 calon Bebas turut bertanding.

 

  • Bilangan calon lelaki mengatasi calon wanita dengan masing-masing 204 orang dan 22 orang.

 

  • Calon yang termuda bertanding dalam pilihan raya kali ini ialah Leslie Ting Xiang Zhi, 25, yang bertanding di Stakan mewakili DAP manakala calon tertua ialah Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 73 tahun yang mewakili BN bertanding di Bawang Assan.

 

  • Sebanyak lima DUN akan menghadapi pertandingan lima penjuru iaitu di Batu Kitang melibatkan calon BN, DAP, PKR dan dua calon Bebas; Bukit Semuja (BN, DAP, PBDSB, Star dan Bebas); Dudong (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); Bawang Assan (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); dan Jepak (BN, Pas, PKR, Star dan calon Bebas).

 

  • Sebanyak 12 kawasan akan menghadapi pertandingan empat penjuru, 27 kawasan pertandingan tiga penjuru, 36 kawasan pertandingan satu lawan satu.

 

  • Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperuntukkan RM135.6 juta bagi mengendalikan PRN ke-11.

 

  • Keputusan awal PRN ke-11 pada 7 Mei ini dapat diperoleh mulai 6 petang dan keputusan penuh pada 11 malam.

 

  • Seramai 62 pemerhati tempatan dipilih daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau PRN ke-11.

 

Sekilas fakta Team Adenan

 

  • Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Naib Presiden Kanan PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi DUN Bukit Sari.

 

  • Datuk Abdul Rahman Ismail juga dari PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi DUN Bukit Kota.

 

  • Daripada 82 kerusi BN di Sawawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding merebut 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 13, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lima dan calon langsung 13.

 

  • Tiga belas calon langsung yang ditampilkan pada PRN kali ini terdiri daripada N01 Opar, N18 Serumbu, N19 Mambong, N23 Bukit Semuja, N33 Engkilili, N47 Pakan, N52 Dudong, N53 Bawang Assan, N54 Pelawan, N71 Bekenu, N74 Pujut, N78 Mulu, N80 Batu Danau.

 

  • Daripada 11 kerusi DUN baharu, lima ditandingi PBB, dua ditandingi PRS, satu SUPP dan tiga calon langsung BN.

 

  • Calon wanita dalam ‘Pasukan Adenan’ adalah lima orang. Empat merupakan penyandang iaitu Sharifah Hasidah (N7 Samariang), Hajjah Simoi Peri (N28 Lingga), Datuk Fatimah Abdullah (N56 Dalat) dan Rosey Yunus (N71 Bekenu) selain satu muka baharu adalah balu kepada mendiang Robert Lau Hoi Chew, Timbalan Menteri Pengangkutan yang meninggal dunia pada 2010, Datuk Janet Lau yang akan bertanding sebagai calon langsung BN di kerusi DUN Pelawan.

 

  • Kira-kira 30 calon yang disenaraikan terdiri daripada muka baharu, manakala tiga calon ditukar kawasan yang ditandingi mereka dan selebihnya adalah penyandang, atau pernah ditampilkan dan kalah dalam pertandingan sebelum ini.

 

  • Dua Anggota Parlimen yang akan bertanding di PRN kali ini ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Anggota Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Anggota Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan.

 

  • Gerald Rentap, 42, dan Allan Siden, 30, akan bertanding di kawasan yang disandang bapa masing-masing, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu dan Datuk Gramong Juna, selama sembilan penggal.

 

  • Sewaktu  PRN-10 pada 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala DAP menguasai 12 kerusi, PKR (tiga) dan satu oleh calon Bebas.

 

  • Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada 7 Mei ini. – Awani
Previous
Next Post »
loading...