loading...

Murid Tahun Satu Dipatuk Ular Dalam Tandas

JOHOR BAHRU — Seorang lagi murid tahun satu menjadi mangsa patukan ular setelah beberapa kes seumpama itu dikesan sejak seminggu lalu.

 

Muhammad Ar Rayyan Nazlan Mohd Nasrul, 7, dipatuk ular di tapak tangan kiri di Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2, Pasir Gudang dekat sini petang semalam, lapor portal Sinar Harian.

 

Namun keadaan murid tahun satu itu dilaporkan stabil ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

 

Ibunya Hajar Norhafiza Ismail, 30, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika anaknya seorang diri di tandas sekolah itu di tingkat tiga.

 

“Anak saya memaklumkan dia dipatuk ular berwarna hijau dan agak panjang,” katanya.

 

“Sejurus kejadian, dia terus memaklumkan kepada guru dan dihantar ke Klinik 1Malaysia sebelum ditukar ke sini (HSI).”

 

“Rasa sangat terkejut, tetapi, alhamdulillah, saya bersyukur dia dalam keadaan selamat,” katanya kepada akhbar itu hari ini.

 

Jurucakap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dilaporkan mengesahkan kejadian tersebut.

 

Pada 19 April, Nuriey Nadhirah Roslan, 7, yang belajar di SK Dato’ Hashim 1 di Pengkalan Chepa maut dipercayai akibat patukan ular di kawasan sekolah ketika bermain pada waktu rehat.

 

Keesokannya, seorang murid perempuan Tahun Dua di SK Chembong, Rembau di Negeri Sembilan cedera dipatuk ular ketika kelas pendidikan jasmani di padang sekolahnya

 

Dua lagi kes di negeri itu membabitkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) di Sungai Gadut, Seremban dan pelajar Kolej Vokasional (KV) Dato’ Lela Maharaja, Rembau.

 

“Pada Sabtu lepas, pelajar SDAR dipatuk ular semasa pulang dari surau ke asrama selepas solat Isyak. Warden telah membawanya ke hospital dan telah dirawat.

 

“Sehari kemudian, pelajar KV dipatuk selepas cuba menangkap ular di sebuah ladang berhampiran sekolah,” kata pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil, kelmarin. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...