loading...

KAFA Akui Ada Masalah Dengan Vida Qu Puteh

KOTA BHARU – Walaupun Tan Sri Annuar Musa cuba menafikan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor seperti mengakui wujud masalah antara badan induk bola sepak negeri itu dengan penaja utamanya, Datuk Seri Hasmiza Othman.

 

Jika tidak ada masalah masakan KAFA mahu mengadakan pertemuan dengan Dr Hasmizah atau lebih dikenali sebagai Dr Vida minggu depan bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit membabitkan kedua-dua pihak.

 

Ismail berkata, pertemuan itu perlu diadakan bagi menyelesaikan masalah yang jika dibiarkan boleh menjejaskan prestasi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

 

“Sebenarnya tiada isu besar yang boleh menjejaskan hubungan KAFA dan Dr Vida seperti yang dihebohkan di media sosial. Ia cuma isu kecil yang boleh diselesaikan dengan cara rundingan.

 

“Sepatutnya kita harus mengelak daripada menggunakan media sosial sebagai gelanggang untuk memperbesarkan perkara remeh kerana akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi itu.

 

“Kami menghormati Dr Vida dan berharap rundingan yang diadakan minggu depan dapat menyelesaikan beberapa isu berbangkit membabitkan kedua-dua pihak,” katanya ketika pada sidang media selepas Mesyuarat Pertemuan KAFA dan penyokong PQPTRW di sini, semalam.

 

Yang turut hadir Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Datuk Nik Jaafar; Naib Presidennya, Muhammad Nasir Hamzah dan wakil kelab penyokong, Kelantan.Net.

 

BH Sukan semalam melaporkan penyokong PQPTRW mahu Dr Vida dan Presiden KAFA, Annuar berbincang bagi menghentikan ‘perbalahan’ antara mereka demi kebaikan pasukan.

 

Presiden TRW Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi, berkata kenyataan demi kenyataan menerusi media berhubung nilai tajaan kepada PQPTRW harus dihentikan segera oleh kedua-dua pemimpin KAFA itu.

 

Mengulas mengenai tajaan dari Dr Vida sebanyak RM8 juta setahun, Ismail berkata tajaan itu dibahagikan kepada gaji pemain, bonus pemain, peruntukan stadium dan juga penyokong.

 

“Namun wang tajaan itu tidak dibuat melalui akaun KAFA seperti yang sepatutnya. Dalam kes ini, Dr Vida seolah-olah tidak mempercayai KAFA untuk menguruskan duit tajaan, sebaliknya pembayaran gaji dilakukan menggunakan akaun peribadi miliknya, bukan akaun khas seperti yang dijanjikan sebelum ini.

 

“Sepatutnya pihak penaja harus memberi mandat dan kepercayaan kepada kami untuk menguruskan wang tajaan itu kerana itulah sebenarnya konsep tajaan,” katanya.

 

Ditanya mengenai dakwaan peminat yang KAFA menyalahgunakan wang tajaan dan tidak menjaga kebajikan pemain, beliau berkata: “Sehingga hari ini, kita masih berada dalam masalah hutang lama yang terkumpul sebanyak RM5.5 juta.

 

“Duit tajaan nampaknya banyak, tetapi perbelanjaan kelab dan stadium harus diambil kira sebelum penyokong melemparkan cemuhan kepada kami.” – BHarian

Previous
Next Post »
loading...