GEORGE TOWN – Penumpang yang menaiki penerbangan pada awal pagi Isnin terkejut apabila sebahgian siling dewan berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tiba-tiba runtuh.
Ching-Yen Beh yang berada di lokasi kejadian memuatnaik gambar siling yang rosak itu menerusi laman Facebook pada kira-kira 7.30 pagi.
“Wow, ia runtuh, saya baru sahaja melaluinya dua minit lalu, saya berada di kawasan pemeriksaan keselamatan dan tempat kejadian didepan kedai minyak wangi,” demikian menurut kapsyen pada gambar itu.
Beliau dalam perjalanan dari LTAPP ke Lapangan Terbang Subang.
Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Arif Jaafar yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, tiada sesiapa yang cedera susulan insiden itu.
Beliau juga menegaskan, tindakan telah diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Ketika ini, kami sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan siling di lapangan terbang dan kejadian yang berlaku itu besar kemungkinan kerana hujan lebat pada sebelah pagi,” katanya ketika dihubungi, Isnin.
Beliau menambah, proses penyelenggaraan itu bermula 20 April dan dijangka selesai pada hujung minggu ini.
Katanya, siling yang dibina tidak dapat menampung bebanan jika berlaku hujan lebat terutama semasa kerja-kerja penyelenggaranan sedang dijalankan.
“Masalah telah dikenal pasti dan kerja-kerja pembaikan alur akan dilakukan serta-merta.
“Penumpang tidak akan berhadapan sebarang masalah susulan kejadian ini kerana kerja-kerja pembaikan akan dilakukan pada sebelah malam,” katanya.
Pada Oktober 2012, hujan lebat mengakibatkan siling di lapangan terbang sama runtuh pada pukul 8.10 malam dan mencederakan seorang kakitangan khidmat pelanggan. – mstar