PETALING JAYA – Suasana pengkebumian seorang mangsa kemalangan di Kampung Sri Mariah, Batu Gajah, Perak, semalam ‘dihujani air mata’ melihat kesedihan yang ditanggung isteri mangsa.
Rafidah Othman hanya mampu mengucap selamat tinggal dengan mengucup dahi arwah suaminya. Zul Haizar Asmar Marzuki dalam keadaan dia menanggung kesakitan kerana cedera parah.
Rafidah diturunkan hanya pada pintu ambulans sahaja kerana pembedahan yang dijalaninya masih tidak cukup 24 jam.
Ketika itu dia masih dalam keadaan terkejut kerana baru diberitahu suaminya meninggal dunia dalam kemalangan itu.
Jenazah suaminya diangkat mendekati Rafidah dan diiringkan sedikit untuk memudahkan Rafidah mengucup dahi suami buat kali terakhir.
Kejadian sedih itu diceritakan oleh anak saudara mangsa, Ummi Najihah yang dikongsikan beberapa blog.
“Sayu rasanya melihat peristiwa seperti ini, tetamu yang mengerumuni mereka turut menangis hiba mengenangkan nasib seorang isteri yang tidak berupaya melihat jenazah suaminya.
“Dua orang anaknya didekatkan pada ibunya (Rafidah) untuk ibunya mengucup anak-anaknya itu. Sayu lagi keadaan melihat ibu & anak-anaknya menangis,” tulis Ummi Najijah.
Dalam kejadian Sabtu lalu, kereta yang dipandu Zul Haizal melanggar sebuah lori kontena yang terbabas di Lebuh raya Slim River.
Zul Haizal yang juga seorang guru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Rafidah dan ibu Zul Haizal mengalami kecederaan parah.
Dua anak pasangan itu berumur 6 dan tiga tahun juga cedera manakala anak bongsu mereka bermur setahun lebih tidak mengalami kecederaan. – FMT