loading...

CIA Terlibat Letup Pesawat MH17 – BBC

LONDON – Stesen rangkaian televi­s­yen Britain, BCC menampilkan bukti terbaharu yang menunjukkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh pesawat tempur Ukraine berbanding penggunaan sistem peluru berpandu permukaan ke darat, BUK seperti yang dinyatakan laporan rasmi sebelum ini.

 

Menurut portal Mail Online, BBC akan menyiarkan dokumentari khas berhubung nahas terbabit dengan menampilkan beberapa teori yang dikaitkan dengan punca pesawat terbabit meletup di udara sebelum terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

 

Selain itu, BBC turut mendakwa tragedi itu berpunca akibat operasi pengganas yang dibantu oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).

 

Dokumentari bertajuk “The Conspiracy Files: Who Shot Down MH17 itu akan disiarkan pada 3 Mei ini.

 

Walaupun laporan rasmi oleh pasukan penyiasat antarabangsa menyebut pesawat itu ditembak jatuh oleh sistem pertahanan buatan Rusia, BUK dari kawasan yang dikuasai oleh pemberontak pro-Moscow, namun dokumentari ber­kenaan mengumpul ken­yataan beberapa orang saksi yang mendakwa kapal terbang Boeing 777 terbabit ditembak oleh sebuah pesawat pejuang.

 

Wartawan Jerman yang menyiasat kes itu, Billy Six mewawancara kira-kira 100 saksi untuk program khas BBC tersebut dengan tujuh daripadanya mendakwa melihat kelibat sebuah jet tempur pada hari kejadian.

 

Bagaimanapun juruterbang pesawat tempur Ukraine, Kap­ten Vladislav Voloshin yang dituduh terlibat dalam tragedi berkenaan, menafikan dakwaan tersebut.

 

Dokumentari BBC itu turut menampilkan teori tentang penglibatan CIA melancarkan operasi pengganas untuk meletupkan pesawat terbabit bagi menyalahkan Rusia yang juga seteru AS.

 

Teori berkenaan dicetuskan oleh penyiasat peribadi, Sergey Sokolov yang percaya CIA membantu pasukan perisikan Ukraine dan Belanda untuk meletakkan bom dalam pesawat itu ketika di Amsterdam.

 

“Tindakan pengganas ini pada asalnya bertujuan untuk meningkatkan sekatan terhadap Rusia selain membuktikan kepada dunia bahawa Moscow adalah negara yang tidak bertamadun kerana sanggup meletupkan pesawat penumpang.

 

“Operasi terbabit membuka peluang kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengukuhkan kedudukan di Eropah terutamanya di Ukraine yang bergolak akibat pemberontakan,” katanya. – UTUSAN

Previous
Next Post »
loading...