loading...

Turki Mahu Kekalkan Sekularisme Dalam Perlembagaan Baru

ANKARA — Perdana Menteri Turki Ahmed Davutoglu berikrar semalam bahawa pindaan perlembagaan Turki akan tetap menjamin kedudukan sekularisme selepas desakan untuk satu perjanjian agama mencetuskan kontroversi di negara majoriti Muslim itu.

 

“Sekularisme akan termaktub dalam perlembagaan baru yang dirangka sebagai prinsip menjamin kebebasan agama rakyat.

 

“Ia juga menjamin kesaksamaan semua agama dalam negara,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen, lapor agensi berita AFP.

 

Davutoglu berkata prinsip sekular dan demokrasi Turki bukanlah “isu untuk didebatkan” di bawah pentadbiran Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang berkuasa sejak 2002.

 

Turki merupakan negara sekular sejak 1928, apabila Islam disingkirkan daripada agama rasmi dalam perlembagaannya selepas negara Turki bangun sebagai sebuah republik ekoran kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.

 

Perlembagaan terkini Turki yang dimaktubkan pada 1982 menjelaskan bahawa negara tersebut tidak akan mengiktiraf sebarang agama rasmi dan tidak akan mempromosikan mana-mana agama, termasuklah Islam yang dianut hampir 97 peratus penduduknya.

 

Turki kini dalam proses untuk merangka draf perlembagaan baharu untuk menyertai Kesatuan Eropah.

 

Yang dipertua Parlimen Ismail Kahraman Isnin lalu berkata Turki “mesti mempunyai peraturan agama”, melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan AKP, sebuah parti yang dahulunya berasaskan Islamis, mahu mengislamkan negara sekular itu.

 

Gesaan itu mengundang bantahan kelmarin di bandar-bandar utama negara itu sehingga polis menyemburkan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan bantahan di Ankara dan Istanbul.

 

Pandangan Kahraman turut mengundang reaksi negatif daripada parti-parti pembangkang, sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan itu adalah pendapat peribadi dan bukan pendirian parti.

 

“Kekacauan yang bermaharajalela di Timur Tengah merupakan hasil pemikiran seperti itu, untuk menjadikan agama satu alat politik,” kata Kemal Kilicdaroglu, ketua parti pembangkang Parti Rakyat Republik dalam laporan BBC.

 

Diketuai oleh pemimpin kontroversi Recep Tayyip Erdoğan, kini presiden Turki, AKP mula mentadbir Turki sejak menang besar dalam pilihanraya 2002. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...