loading...

Kek Lapis Dapat Sambutan Hangat Sepanjang Kempen PRN Sarawak

KUCHING – Kek lapis sejenis kuih pemanis mulut yang popular di Sarawak mendapat sambungan hangat menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11).

 

Peniaga kek tersebut tidak menang tangan apabila berlakunya peningkatan luar jangka terhadap kuih pemanis mulut itu.

 

“Penjualan melonjak kira-kira 20 peratus kerana peningkatan bilangan pelanggan,” kata Pengurus Mira Cake House, Nur Fariza Junaidi.

 

Nur Fariza berkata seorang penggemar kek tersebut membelanjakan kira-kira RM600 untuk membeli kek berkenaan yang mahu dibawa pulang ke Semenanjung.

 

“Perniagaan berada dalam keadaan baik kerana pilihan raya negeri ini. Lebih ramai orang datang dan kami menjangkakan penjualan meningkat menjelang beberapa minggu akan datang,” katanya.

 

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut membuat kunjungan mengejut ke kedai tersebut semasa melakukan walkabout di Kampung Boyan di sini, malam Ahad.

 

Kek lapis merupakan kek tradisional Sarawak yang dikenali kerana rasanya yang enak dan dihasilkan dengan pelbagai warna.

 

Setiap kek yang terhasil mempunyai perasa yang berbeza.

 

“Antara yang paling popular adalah kek masam manis yang dibuat menggunakan asam keping, 1Malaysia dihasil menggunakan buah strawberi dan keju serta Sayang Sarawak yang terhasil daripada campuran koko dan buah strawberi,” katanya.

 

Kedai kek tersebut turut menghasilkan kek lapis unik seperti Tun Razak yang dibuat menggunakan adunan pandan dan coklat.

 

Terdapat juga kek lapis perasa Nescafe dan Milo.

 

Nur Fariza berkata kedai tersebut turut menerima permintaan khas untuk menghasilkan kek lapisan menggunakan warna Barisan Nasional.

 

“Susulan saiz kek itu yang besar, harganya mencecah antara RM300 dan RM400,” katanya.

 

Kebanyakan kes lapis yang dijual di Mira Cake House berharga RM10. – mstar

Previous
Next Post »
loading...