KUCHING – Kegagalan pembangkang menyelesaikan isu pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) membuktikan kerapuhan pakatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pertembungan antara PAS, DAP dan PKR di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga membuktikan pakatan pembangkang dianggotai parti yang saling mencurigai antara satu sama lain.
“Terdapat beberapa kerusi, PKR dan DAP lawan dalam kawasan sama, selepas itu PAS lawan PKR…(sedangkan) di peringkat Selangor, mereka bersama dalam satu kerajaan. Tetapi di tempat lain dia (pembangkang) bertentangan.
“Hakikatnya, pembangkang (saling) mencurigai antara satu sama lain. Mereka ini tidak ada pakatan yang ikhlas dan kukuh sebenarnya,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perdana Menteri Bersama Jentera PRN-11 DUN Tupong, di Dewan Gita, Kampung Pinang Jawa, Petrajaya di sini semalam.
Perdana Menteri berkata pakatan itu hanya mengamalkan ‘politik yang meraih keuntungan sementara’, dan ditubuhkan hanya untuk mengabui mata rakyat.
Justeru, Najib mengingatkan rakyat Malaysia dan Sarawak khususnya, agar tidak memperjudikan masa depan dengan memilih parti yang hanya tahu menjanjikan perkara ‘indah tanpa berpijak kepada realiti’.
Beliau berkata rakyat harus sedar hanya BN pilihan terbaik berdasarkan rekod lepas yang sudah terbukti berjaya.
“Kita mesti berpegang kepada sesuatu jaminan yang terbukti rekod prestasinya dan telah sekian lama mensejahterakan Bumi Kenyalang ini…tidak lain tidak bukan, Barisan Nasional,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Pengarah Pilihan Raya DUN Tupong; calon DUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, bekas Adun Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman; serta ratusan anggota jentera pilihan raya BN DUN Tupong.
Dalam pada itu, Najib berkata Fazzrudin merupakan calon pilihan BN yang terbaik bagi meneruskan legasi Daud dalam memastikan pembangunan berterusan di kawasan berkenaan.
Beliau berharap pengundi di Sarawak dan DUN Tupong secara khususnya dapat memberikan majoriti lebih besar dan meyakinkan kepada BN, demi memastikan agenda pembangunan kerajaan negeri dan pusat dapat diteruskan. – BERNAMA