loading...

Video: Pertindihan Kerusi PKR – DAP Bukan Isu Besar, Kata Azmin

Oleh: M.Faizal

 

KUCHING – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan isu pertindihan dan pertembungan calon PKR dan DAP di enam kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) ini bukanlah perkara besar yang perlu diberi perhatian.

 

Katanya, isu itu tidak seharusnya mengganggu matlamat utama pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam PRN-11 ini.

 

“Kita menghormati kekuatan setiap parti-parti politik, (dan) kita hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk mengalahkan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di kawasan DUN Tarat malam tadi.

 

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan sebab utama PKR meletakkan calon-calonnya bertanding di kerusi yang ditandingi DAP, rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan itu kerana memenuhi permintaan penduduk setempat.

 

“Kita telah berjaya menguruskan pengagihan kerusi lebih 90 peratus, daripada 82 kerusi.

 

“Hanya ada enam kerusi yang bertindih kerana permintaan rakyat di kawasan berkenaan dan saya tidak lihat ini sebagai isu besar,” jelasnya lagi.

 

Penjelasan terbaru itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Azmin pada Isnin, apabila beliau menyatakan rasa kesal berlaku pertembungan antara PKR dan DAP di enam kerusi membabitkan DUN Batu Kitang, Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah.

 

Dalam perjanjian bertulis 7 April lalu, kedua-dua parti bersetuju kerusi DUN Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah ditandingi calon DAP manakala kerusi Batu Kitang diserahkan kepada calon PKR.

 

 

Selain bertindih kerusi dengan DAP, calon PKR turut bertembung dengan calon PAS di beberapa kerusi DUN.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pertembungan calon PKR dan DAP membuktikan kerapuhan hubungan parti pembangkang disebabkan wujud sikap saling mencurigai antara satu sama lain.

 

“Terdapat beberapa kerusi, PKR dan DAP lawan dalam kawasan sama, selepas itu PAS lawan PKR…(sedangkan) di peringkat Selangor, mereka bersama dalam satu kerajaan. Tetapi di tempat lain dia (pembangkang) bertentangan.

 

“Hakikatnya, pembangkang (saling) mencurigai antara satu sama lain. Mereka ini tidak ada pakatan yang ikhlas dan kukuh sebenarnya,” katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri Bersama Jentera PRN-11 DUN Tupong, kelmarin. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...