loading...

Komander Tentera AS Dipenjara Terima Rasuah Dari Ahli Perniagaan Malaysia

LOS ANGELES – Seorang komander Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang mengaku bersalah kerana menerima rasuah RM1.9 juta, khidmat pelacur dan tiket konsert Lady Gaga daripada seorang ahli perniagaan dari Malaysia sebagai pertukaran maklumat sulit dihukum penjara lebih enam tahun kelmarin.

 

Komander Michael Vannak Khem Misiewicz yang dilahirkan di Kemboja sewaktu Perang Vietnam dan mendapat perhatian media kerana mengetuai kapal pemusnah Tentera Laut AS itu merupakan pegawai berpangkat tinggi terbaharu yang dihukum dalam skandal rasuah sebanyak AS$30 juta (RM117 juta).

 

Dalam semua 10 orang yang telah didakwa dalam kes itu dengan sembilan daripadanya mengaku bersalah, termasuk seorang ahli perniagaan dari Malaysia, Leonard Francis atau dikenali sebagai Fat Leonard yang dikatakan oleh pendakwa raya membayar kira-kira AS$500,000 (RM1.9 juta) sebagai rasuah kepada Misiewicz.

 

Selain dipenjara enam tahun lima bulan, Misiewicz turut diarahkan untuk membayar denda AS$100,000 (RM391,349) dan penalti sebanyak AS$95,000 (RM371,782) kerana penipuan itu.

 

Pendakwa raya berkata, Misiewicz memberikan Francis maklumat sulit bernilai berjuta-juta dolar, termasuk pergerakan kapal dan membantu mengatur lawatan oleh kapal-kapal Tentera Laut AS ke pelabuhan di mana syarikat Francis yang berpangkalan di Singapura, Glenn Davis Marine Asia Ltd. mempunyai kontrak untuk menyediakan bot tunda, keselamatan, bahan api dan pembuangan sisa.

 

Sebagai pertukaran, Francis memberikan Misiewicz pelbagai hadiah seperti bayaran perjalanan, penginapan hotel mewah, khidmat pelacur dan lima tiket konsert Lady Gaga di Thailand pada 2012. – Reuters

Previous
Next Post »
loading...